KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada waris lima sekeluarga yang ditemukan meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub awal pagi tadi.
Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu dan berharap seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah turut mendoakan agar roh mangsa yang meninggal dunia dalam bulan Ramadan yang mulia ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam. kalangan hamba Allah yang dikasihi.
Lima sekeluarga terdiri daripada suami isteri dikenali sebagai Mohd. Allawi Mohammad, 57, dan Zaleha Ibrahim, 45, dan tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9, dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira 3.45 pagi tadi. – UTUSAN










