PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memperluaskan kategori barangan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua merangkumi makanan sejuk beku yang mula disalurkan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembabitan kedai runcit kecil dalam pelaksanaan SARA juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini.
“Bermula hari ini, 9 Februari 2026 hingga 31 Disember 2026, semua 22 juta warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 melalui MyKad.
“Namun, ramai membangkitkan supaya diperluaskan kategori barangan jadi, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, semalam.
Anwar berkata, perluasan SARA membabitkan semua lapisan rakyat walaupun nilai bantuan itu kecil secara individu, namun memberi kesan besar.
“Bayangkan 22 juta rakyat dapat, ini peringkat kedua SARA untuk semua. Jumlahnya kecil, tapi kita nak santuni semua.
“Kalau campur kesan perbelanjaan SARA dan STR (Sumbangan Tunai Rahmah), jumlahnya RM15 bilion. Itu bukan kecil,” katanya.
Namun beliau menegaskan, kerajaan kekal berdisiplin dari segi pengurusan fiskal dan tidak mahu berbelanja secara berlebihan sehingga menjejaskan kedudukan kewangan negara.
“Kita cuba sedaya upaya. Nak bayar banyak sekali gus, tak boleh. Kita tak mahu defisit, kita urus. STR pun. Semua kementerian tahu, kita cermat dalam belanja,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bantuan itu turut mengambil kira keperluan rakyat menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu ternakan babi tidak harus dilihat dari sudut perkauman atau agama, sebaliknya perlu ditangani secara rasional dengan mengambil kira aspek kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti.
“Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi dan tidak melarang orang bukan Islam makan babi. Tetapi kita juga tidak boleh memaksa masyarakat yang tidak menghendakinya untuk menerima ternakan itu di persekitaran tempat tinggal mereka.
“Saya sendiri tidak bersetuju jika ada ternakan babi di sekitar rumah saya di Sungai Long. Bukan kerana saya anti orang Cina makan babi, tetapi kerana masalah bau dan pengurusan najis yang menimbulkan ketidakselesaan,” katanya. – UTUSAN










