JAKARTA: Mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap anak kepada taikun minyak terbesar yang dikehendaki Interpol, susulan kes rasuah didakwa menyebabkan kerugian negara mencecah AS$17 bilion (RM66 bilion).
Muhammad Kerry Adrianto Riza merupakan defendan berprofil tinggi yang disabitkan kesalahan dalam skandal besar-besaran melibatkan syarikat tenaga milik negara, Pertamina.
Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara, Muhammad Kerry didapati bersalah kerana memanipulasi kontrak pajakan dan bersubahat dengan beberapa eksekutif Pertamina.
“Muhammad Kerry Adrianto Riza terbukti secara sah dan meyakinkan telah melakukan rasuah secara bersama,” kata Hakim Fajar Kusuma di Mahkamah Jakarta Pusat hari ini.
Selepas hampir 12 jam mendengar penghakiman, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Muhammad Kerry dan memerintahkannya membayar denda kira-kira AS$59,500 (RM231,211) serta ganti rugi bernilai lebih AS$173 juta (RM672 juta).
Bapanya, Mohammad Riza Chalid, dikehendaki kerana didakwa terlibat dalam siasatan rasuah yang sama, tetapi melarikan diri dari Indonesia.
Rekod imigresen menunjukkan beliau meninggalkan negara itu ke Malaysia dan Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.
Dalam penghakiman sama, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat Pertamina, Riva Siahaan dan Yoki Firnandi, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Skandal Pertamina melibatkan pemerolehan bahan api import berkualiti rendah pada harga tinggi, selain pelbagai amalan rasuah lain, menurut Pejabat Peguam Negara.- AFP










