JERANTUT: Ramadan kali ini begitu bermakna buat Mohamad Yaakub Ting Abdullah, 41, seorang mualaf Tionghoa yang melafazkan dua kalimah syahadah pada 30 Januari lalu, apabila akan menjalani ibadah puasa buat pertama kali.
Mohamad Yaakub Ting yang menetap di Kampung Batu Balai di sini berkata, hasratnya mahu memeluk Islam sudah lama iaitu sejak usia 17 tahun namun hanya baru-baru ini Allah SWT mengurniakan hidayah untuknya bergelar seorang muslim.
“Saya bersyukur kerana hasrat yang terpendam sejak remaja menjadi kenyataan. Dengan bantuan keluarga angkat, saya dibawa ke Pejabat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Jerantut pada 30 Januari lalu untuk melafazkan syahadah.
“Ramadan kali ini menjadi titik permulaan perjalanan baharu saya. Saya teruja untuk merasai nikmat berpuasa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mohamad Yaakub Ting berkata, selepas memeluk Islam, dia menjalani proses berkhatan oleh pembantu perubatan dari klinik berdekatan yang datang ke rumah keluarga angkatnya.
Katanya, minat terhadap Islam mula timbul sejak tinggal bersama keluarga angkat Melayu yang memperlihat nilai kehidupan berlandaskan agama termasuk solat berjemaah di masjid, berpuasa di bulan Ramadan serta aktiviti kemasyarakatan.
“Sejak itu saya lebih banyak tinggal bersama keluarga angkat berbanding rumah asal, hanya pulang setiap minggu untuk menjenguk ibu yang kini berusia 65 tahun. Hasil kerja sebagai pemotong buah sawit, saya berikan sedikit wang belanja untuk keperluan dapur,” ujarnya.
Mohamad Yaakub Ting yang pernah berkahwin dengan wanita Tionghoa namun tidak dikurniakan anak berkata, isterinya meninggal dunia tahun lalu dan sejak itu dia lebih rapat dengan keluarga angkat Melayu.
Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, dia memberitahu tetap menziarahi ibunya dan adik-beradik lain namun menjaga adab sebagai seorang muslim.
Sementara itu, Sabri Salleh, rakan keluarga angkat yang membimbingnya berkata, Mohamad Yaakub Ting sudah dianggap sebahagian daripada keluarganya kerana sejak remaja lagi banyak tinggal bersama mereka.
“Sejak minggu lalu, dia dihantar ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) daerah untuk mendalami al-Quran dan Fardu Ain. Guru agama dan rakan-rakan Islam kampung ini juga membantu menguatkan iman dan amalnya,” katanya.-UTUSAN.









