Samsuri terajui Perikatan Nasional

Samsuri terajui Perikatan Nasional

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang diadakan di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas akan menerajui Perikatan Nasional (PN) selepas Naib Presiden mereka, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsu­ri Mokhtar dilantik sebagai pe­nge­rusi gabungan parti politik itu.

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi siapakah individu paling layak mengetuai PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman telah dipersetujui empat orang presiden parti yang membentuk PN ketika ini termasuklah Presiden Gerakan, Da­tuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta selepas dipersetujui semua pre­siden parti tersebut.

“Pas hanya menamakan satu calon iaitu Ahmad Samsuri dan semua bersetuju. Mesyua­rat yang berlangsung hari ini juga berjalan lancar de­ngan dipengerusikan Muhyiddin,” ka­ta­nya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Luar Biasa Maj­lis Tertinggi PN di ibu pejabat Pas di sini semalam.

Menurut Takiyuddin lagi, pemilihan calon Pas untuk menerajui PN dibuat atas dasar kelebihan yang dimiliki Ahmad Samsuri termasuk sebagai Menteri Besar Terengganu selama dua penggal.

“Pemilihan beliau juga di­buat selepas menunjukkan pres­tasi baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berkata, pemilihan Ahmad Samsuri itu tidak melanggar mana-mana klausa perlembagaan gabungan itu yang tidak pernah menetapkan iaitu calon pengerusi perlulah pemimpin berjawatan presiden parti.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, Pas turut akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Jawatan tersebut kini disandang bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut.

Beliau berkata, calon tersebut akan dimaklumkan kemudian.

Katanya, perkara tersebut juga telah dipersetujui parti-parti komponen PN dalam mesyuarat semalam.

“Perkara itu ada dibangkit­kan dan telah diputuskan su­paya diberi sedikit masa difikirkan perkara itu.

“Ia terutama apabila secara rasminya pihak parti-parti anggota ini bersetuju kerusi ketua pembangkang dipegang oleh Pas sebagai parti terbesar dalam Parlimen.

“Namun, belum ada keputusan lagi kerana Pas memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kekal sebagai ahli Majlis Ter­tinggi (MT) PN selepas dilantik sebagai timbalan pengerusi.

“Saya dimaklumkan Bersatu bahawa Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN. Semua jawatan timbalan kekal kecuali (Tan Sri) Abdul Hadi yang tidak berhasrat berada dalam MT,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat PN turut akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti semula jawatan yang kosong sebelum ini, selepas mendapat arahan daripada Ahmad Samsuri.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, Pas enggan mengambil serius ber­kenaan dakwaan pemimpin Ber­satu yang mempersendakan pemimpin Pas dan UMNO dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Presiden tidak mahu ambil tahu mengenainya. Jadi kami serahkan kepada pihak berkenaan untuk menguruskan perkara tersebut. Itu tiada kaitan dengan kami, kami tidak mengambilnya dengan serius,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×