Ribuan rakyat Venezuela tuntut pembebasan Maduro

Ribuan rakyat Venezuela tuntut pembebasan Maduro

PENYOKONG Nicolas Maduro membawa potret beliau semasa perhimpunan di luar Parlimen Venezuela di Caracas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Ribuan penyokong pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, membanjiri jalan raya di Caracas pada Selasa bagi menuntut pembebasan beliau, sebulan selepas digulingkan dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

“Venezuela perlukan Nicolas,” laung peserta perarakan ketika Presiden Interim, Delcy Rodriguez kini berada dalam situasi sukar untuk mengekalkan sokongan Washington, sambil pada masa sama perlu menjaga hati penyokong teguh Maduro dalam kerajaannya serta rakyat Venezuela.

Beberapa penunjuk perasaan yang kebanyakannya merupakan kakitangan sektor awam, dilihat membawa foto Maduro dan isterinya, Cilia Flores.

Pasangan itu ditahan oleh pasukan tentera AS pada 3 Januari lalu untuk dibicarakan atas pertuduhan dadah di New York.

Perarakan yang dianjurkan oleh kerajaan itu menjangkau sehingga beberapa ratus meter, diiringi lori-lori yang memainkan muzik dengan kuat.

Kebanyakan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Venezuela dan berpakaian merah, warna rasmi pergerakan ‘Chavista’ yang dinamakan sempena pendahulu sosialis Maduro, Hugo Chavez.

“Kami berasa keliru, sedih, dan marah. Pelbagai emosi bercampur baur,” kata Jose Perdomo, 58, seorang kakitangan perbandaran yang turut menyatakan sokongan terhadap keputusan yang diambil oleh Presiden interim, Delcy Rodriguez.

“Lambat-laun mereka (AS) perlu membebaskan presiden kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Rodriguez selagi beliau mengikut garis panduan Washington, terutamanya dalam memberi akses kepada rizab minyak Venezuela yang amat besar.

Berada di bawah tekanan, Rodriguez mula membebaskan tahanan politik dan membuka industri hidrokarbon negara yang sebelum ini dimiliknegarakan kepada pelaburan swasta. Beliau sebelum ini merupakan penyokong kuat Maduro dan pernah berkhidmat sebagai Naib Presidennya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN