SEREMBAN: Seorang pegawai kanan tentera direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di sini selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM 28,000.
Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan operator gambar serta penjualan cenderamata fotografi serta daripada kontraktor lain yang mendapat kerja di tempat kerjanya.
Majistret Sara Afiqah Zulkifli membenarkan suspek direman selama enam hari sehingga 9 Februari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu telah ditahan pada pukul 4.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025 ketika bertugas sebagai pengarah.
“Dia turut disyaki menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM3,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufij Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN









