Raja Perlis seru umat Islam perkukuh kefahaman dan pegangan sunnah - Utusan Malaysia

Raja Perlis seru umat Islam perkukuh kefahaman dan pegangan sunnah

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kanan) berkenan beramah mesra selepas Majlis Penutupan Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2026 Siri Ketiga di Dewan 2020, Kangar, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Umat Islam perlu mengukuhkan kefahaman dan pegangan terhadap sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai sumber asas ilmu dan panduan dalam kehidupan seharian.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, sunnah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam ibadah tetapi juga dalam membentuk keperibadian, memperkukuh masyarakat dan membina tamadun teguh berlandaskan nilai moral serta etika.

“Sunah membentuk individu yang membina masyarakat dan melahirkan tamadun yang kuat serta berdaya tahan,” titah baginda menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2026 Siri Ketiga di Dewan 2020 di sini, semalam.

Berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, umat Islam seharusnya dibimbing untuk membezakan amalan agama yang berakar umbi daripada ajaran sahih dengan amalan dipengaruhi oleh adat atau andaian tanpa asas jelas dalam Islam.

“Islam mempunyai panduan yang jelas, tersusun dan sahih bukan atas amalan warisan yang kekurangan kefahaman yang betul. Perkara yang tidak diasaskan oleh panduan sahih, walaupun kelihatan baik pada zahirnya namun mungkin boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak diteliti dengan ilmu dan kebijaksanaan,” titah baginda.

Titah baginda, walaupun tradisi budaya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, namun ia mesti kekal batasan ditetapkan al-Quran dan sunnah.

“Ini terutamanya melibatkan perkara-perkara yang tidak dinyatakan secara spesifik dalam hukum syarak,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddn bertitah, konvensyen yang dianjurkan itu juga telah menarik penyertaan menggalakkan dari dalam dan luar negara mencerminkan peningkatan kesedaran tentang kepentingan dalam mengukuhkan kefahaman sunnah.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan penceramah selain menyifatkan himpunan itu lebih daripada sekadar acara akademik berikutan menjadi platform kepada pertukaran ilmu, pandangan dan kepakaran yang bermakna antara cendekiawan serta tokoh dakwah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN