CANBERRA: Dua syiling peringatan, yang dikeluarkan oleh Royal Australian Mint dan memaparkan potret Ratu Elizabeth II, dikritik kerana ia tidak seiras denga wajah mendiang raja.
Syiling perak bernilai AS$5 dan 50 sen itu dihasilkan bagi memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran mendiang Ratu.
Jualannya dibuka melalui sistem undian dalam talian yang ditutup pada Rabu lalu.
“Ini merupakan potret pada syiling yang paling tidak menyenangkan pernah saya lihat,” tulis salah seorang pengguna media sosial.
Pihak Royal Australian Mint bagaimanapun mempertahankan rekaan tersebut dengan menyatakan imej pada syiling yang dihasilkan tidak selalunya dapat memaparkan keindahan penuh sesuatu reka bentuk setelah ia diukir pada logam.
Ratu Elizabeth II mangkat pada 2022 pada usia 96 tahun dan merupakan monarki yang paling lama memerintah dalam sejarah United Kingdom (UK).
Antara komen pedas yang ditinggalkan oleh netizen di laman Facebook rasmi kilang wang tersebut termasuklah menyamakan potret tersebut dengan pelbagai watak televisyen, termasuk Mrs. Doubtfire iaitu watak pengasuh terkenal yang dilakonkan oleh mendiang Robin Williams.
Meskipun dihujani kritikan, terdapat juga segelintir peminat yang menyambut baik rekaan itu. Mereka menganggap ia sebagai satu bentuk pengiktirafan istimewa terhadap legasi mendiang Ratu.
Walaupun tular dengan ulasan negatif, minat pengumpul terhadap syiling ini tetap luar biasa. Jurucakap kilang wang tersebut melaporkan bahawa syiling perak tersebut telah habis dijual melalui sistem undian, manakala stok di pusat hubungan dan kedai fizikal mereka kini sangat terhad.
Menurut laman web rasmi mereka, sebanyak 30,000 keping syiling 50 sen dan 5,000 keping syiling $5 telah dihasilkan. Kesemuanya adalah barangan koleksi dan tidak akan digunakan untuk edaran awam.
Selain potret yang menjadi pertikaian itu, syiling tersebut turut memaparkan reka bentuk simbolik yang mencerminkan pelbagai fasa kehidupan dan legasi kepimpinan Ratu Elizabeth II. -BBC










