PN sudah putuskan Takiyuddin sebagai ketua pembangkang?

PN sudah putuskan Takiyuddin sebagai ketua pembangkang?

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Whip Pe­rikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan didakwa telah dipilih untuk menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang dalam perbincangan dalaman ga­bungan itu baru-baru ini.

Sumber dalaman PN membe­ritahu, perkara berhubung ja­wa­tan ketua pembangkang sememangnya dibangkitkan dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 22 Februari lalu.

“Ketua Pemuda PN daripada Pas mencadangkan supaya Ke­tua Whip diangkat sebagai ketua pembangkang manakala wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut.

“Sepatutnya perkara itu diumumkan sekali gus bersama pe­ngumuman nama Pengerusi PN, namun Takiyuddin tidak membuat sebarang pengumuman me­­ngenainya ketika itu,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN tidak mahu tergo­poh-gapah menyelesaikan isu ke­dudukan ketua pembangkang kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk pandangan kepemimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen lain serta perhitungan politik.

Katanya, kedudukan ketua pembangkang disandang Ham­zah yang dipecat daripada Ber­satu bukan keputusan individu atau sebuah parti tetapi dibin­cangkan bersama pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mempunyai hak dalam Per­lembagaan.

Pada masa sama, kata beliau, PN memberi tumpuan untuk menggabungkan seramai mungkin ahli Parlimen supaya kekuatan blok pembangkang lebih tersusun dan berkesan di Dewan Rakyat.

“Kemudian sidang Parlimen (Dewan Rakyat) tinggal dua hari lagi. Tidak perlu kita gopoh dan kita mahu perkasakan PN. Nak usaha supaya seramai mungkin ahli Parlimen bersama PN bukan sahaja daripada Pas dan Bersatu,” katanya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini semalam.

Semalam, akhbar ini mela­por­kan, kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang kekal sehingga penghujung sidang Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, tiada no­tis rasmi diterima berhubung per­tukaran jawatan berkenaan setakat ini.

Dalam pada itu, Ketua Pene­rangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, tugas untuk me­namakan ketua pembangkang yang baharu adalah tugas MT PN dan perlu diputuskan dalam Mesyuarat MT PN.

“Tugas untuk memperakui ketua pembangkang yang baharu adalah tugas dan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Perakuan akan dibuat ha­nya selepas MT PN mengangkat nama tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bukannya dalam baki masa dua hari Dewan Rakyat bersidang.

“Tugas ini lebih mudah la­gi jika dasar dan keputusan ber­kaitan perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN, 22 Februari lalu,”katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×