DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, melantik bekas menteri perdagangan untuk mengemudi ekonomi negara yang berdepan tekanan, sambil mengekalkan portfolio pertahanan di bawah kawalannya dalam pembentukan Kabinet baharu.
Rahman mengangkat sumpah jawatan pada Selasa selepas mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya, menggantikan pentadbiran sementara yang mentadbir negara berpenduduk 170 juta itu sejak kebangkitan berdarah pada 2024 yang menggulingkan kerajaan autokratik pimpinan Sheikh Hasina.
Menerusi warta kerajaan yang dikeluarkan lewat semalam, Kabinet seramai 50 anggota itu merangkumi Amir Khasru Mahmud Chowdhury, 76, ahli perniagaan dan ahli Parlimen veteran yang kembali menerajui Kementerian Kewangan.
Beliau dipertanggungjawabkan memulihkan pertumbuhan ekonomi selepas tempoh ketidaktentuan yang menjejaskan keyakinan pelabur di negara pengeksport pakaian kedua terbesar dunia itu.
Chowdhury sebelum ini pernah berkhidmat dalam kabinet Allahyarham Khaleda Zia, yang juga ibu Rahman dan pernah menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali, namun meletak jawatan pada 2004.
Menurut laporan media, peletakan jawatannya sebelum ini berlaku selepas beliau memberi kebenaran kepada Taiwan untuk membuka pejabat komersial di Dhaka. Chowdhury tidak pernah mengulas secara terbuka mengenai perkara itu.
Beliau juga beberapa kali ditahan sepanjang pemerintahan Hasina, ketika kerajaan pimpinannya kerap menyasarkan pemimpin pembangkang dalam kes yang sering didakwa bermotifkan politik.
Sementara itu, Tarique, 60, melantik dirinya sendiri sebagai menteri pertahanan ketika kerajaannya berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk memperkukuh keselamatan dan merapatkan perpecahan dalam negara yang terpolarisasi akibat persaingan politik berpanjangan.
Bangladesh berada di antara India, yang menyaksikan ketegangan sempadan semakin memuncak, dan Myanmar, di mana pertempuran merebak ke kawasan sempadan.
Negara itu juga menempatkan lebih sejuta pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.- AFP










