KANGAR: Pesta Angin Timur Perlis 2026, program ikonik negeri ini yang memasuki edisi ke-14 penganjurannya berjaya mempromosikan keunikan aktiviti kebudayaan dan tradisi negeri, sekali gus melonjakkan Perlis sebagai antara lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, di Perlis banyak aktiviti kesenian, kebudayaan dan tradisi yang akan sentiasa diketengahkan.
Katanya, Pesta Angin Timur 2026 yang berlangsung di Dataran Kangar Jaya di sini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang dijangka mampu menarik lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari pesta itu.
“Pesta Angin Timur menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan Perlis kepada dunia luar sekali gus memacu sektor pelancongan dan ekonomi di negeri ini. Pesta Angin Timur yang diadakan sejak 2011 diilhamkan daripada keunikan fenomena angin timur di Perlis selain mengangkat kebudayaan masyarakat setempat,” katanya pada majlis perasmian Pesta Angin Timur Perlis 2026 di Dataran Kangar Jaya hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris.
Pesta Angin Timur 2026 melibatkan lebih 10,000 peserta menerusi 50 acara, demonstrasi, pameran dan gerai jualan dengan antara aktiviti menarik seperti pertandingan tangkap belut, gasing pangkah, kabaddi, permainan tradisional, kerbau besi berhias, lastik terbuka, tarik tali, himpunan basikal lipat, motosikal klasik dan banyak lagi.
Sementara itu, Mohd Amran berkata, Pesta Angin Timur Perlis akan terus diperkasa, selaras dengan aspirasi kementerian yang menyasarkan pengiktirafan antarabangsa bagi pesta berteraskan warisan budaya tersebut.
Katanya, usaha tersebut dilaksanakan secara berperingkat dengan mengekalkan identiti asal pesta yang sinonim dengan budaya serta aktiviti masyarakat bendang di negeri ini.
“Kita juga usahakan penglibatan antarabangsa dalam pertandingan diperkenalkan tahun ini dan Alhamdulilah sudah ada penyertaan negara luar, termasuk dalam acara wau dan gasing pangkah.
“Penjenamaan Pesta Angin Timur sebagai produk pelancongan budaya berpotensi tinggi mampu mengangkat Perlis sebagai destinasi unik berteraskan warisan tradisi sekali gus menyokong usaha kementerian memperluas promosi pesta berkenaan ke peringkat global.
“Kita mahu Pesta Angin Timur menjadi satu jenama dan dalam masa sama meletakkan pesta tersebut di pentas antarabangsa melalui penyertaan peserta luar serta kepelbagaian pengisian program,” katanya.
“Penganjuran kali ini juga menampilkan pendekatan lebih tersusun dengan 80 peratus program diadakan di dataran, manakala 20 peratus lagi di kawasan bendang bagi mengekalkan elemen tradisi. Pemilihan lokasi kali ini juga lebih sesuai bagi membantu mengurangkan risiko penangguhan Pesta Angin Perlis akibat faktor cuaca,” katanya.-UTUSAN










