KOTA BHARU: Himpunan RXZ Forever Legend selama dua hari yang berakhir semalam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mencatatkan tahap pematuhan peraturan tinggi dalam kalangan semua peserta.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd. Misuari Abdullah berkata, ia dapat dilihat apabila tiada sebarang unsur provokasi yang dilakukan oleh para peserta.
Katanya, maklumat awal mendapati pergerakan kumpulan RXZ yang masuk ke negeri ini sejak Khamis malam hingga Jumaat begitu teratur dan kemas.
“Saya bangga dengan apa yang ditunjukan oleh para peserta dan sepanjang tempoh itu kami (JPJ) tidak menerima sebarang laporan berkaitan kemalangan melibatkan penunggang RXZ.
“JPJ Kelantan percaya peserta yang datang benar-benar lengkap dari segi pematuhan peraturan. Hal ini kerana sebelum program berlangsung kami sudah memberikan nasihat supaya jangan hadir jika kenderaan dan kelengkapan tidak lengkap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup RXZ Forever Legend di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, pemerhatian yang dilakukan mendapati kebanyakan peserta mengambil peluang untuk meneroka tempat-tempat makan di Kelantan.
Katanya, perkara itu merupakan sesuatu yang sangat positif
“Sikap ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada penganjuran program permotoran berskala besar yang boleh berlangsung dalam suasana harmoni, selamat dan berdisiplin, tanpa menjejaskan ketenteraman awam,” ujarnya.
Utusan Malaysia 19 Januari lalu melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan terhadap peserta program RXZ Forever Legend yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Februari ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini.
Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, ia melibatkan pemakaian topi keledar, pengubahsuaian motosikal serta penggunaan ekzos tidak mematuhi spesifikasi, selain memastikan peserta memiliki lesen memandu serta cukai jalan yang sah.-UTUSAN










