Penumpang diperkosa, Uber diarah bayar pampasan RM31.5 juta

Penumpang diperkosa, Uber diarah bayar pampasan RM31.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARIZONA: Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Uber, untuk membayar pampasan sebanyak AS$8.5 juta (RM31.5 juta) kepada seorang wanita yang mendakwa diperkosa oleh pemandunya.

Keputusan ini dijangka bakal mempengaruhi keputusan ribuan kes lain yang sedang dihadapi syarikat tersebut.

Saman persekutuan itu dibicarakan di Arizona, di mana hakim mengambil masa selama dua hari untuk berbincang sebelum memutuskan Uber bertanggungjawab ke atas tingkah laku pemandunya.

Bagaimanapun, Uber menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Dalam penghakiman itu, juri menolak tuntutan tambahan lain, termasuk dakwaan Uber cuai dan sistem keselamatannya mempunyai kecacatan.

Plaintif, Jaylynn Dean, mendakwa dia diserang secara seksual di dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke hotelnya pada tahun 2023.

Dean mendakwa, Uber menyedari berlakunya gelombang serangan seksual oleh pemandunya, namun gagal mengambil tindakan asas bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Juri memutuskan syarikat itu bertanggungjawab di bawah doktrin ‘agensi ketara’ yang bermaksud Uber dipertanggungjawabkan ke atas tindakan pemandu ketika dia bekerja bagi pihak syarikat. Keputusan ini membawa kepada pemberian ganti rugi pampasan sebanyak AS$8.5 juta (RM31.5 juta).

Bagaimanapun, juri tidak menyokong tuntutan Dean untuk ganti rugi punitif berjumlah lebih AS$144 juta (RM568.2 juta) terhadap firma tersebut.

Peguam utama Dean, Sarah London, menyifatkan keputusan ini sebagai satu pengesahan kepada ribuan mangsa lain yang tampil ke hadapan dengan risiko peribadi yang besar.

Kes Dean merupakan salah satu daripada 20 kes yang dikenali sebagai kes perintis terhadap Uber yang akan dibicarakan satu demi satu.

Kes ini dijangka akan menetapkan preseden bagi keputusan kira-kira 2,500 kes mahkamah persekutuan lain yang membawa tuntutan serupa terhadap Uber.

Pihak Uber berhujah bahawa mereka tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas tindakan jenayah oleh pemandu yang menggunakan platform mereka, memandangkan pemandu adalah kontraktor bebas dan telah melalui proses semakan latar belakang.

Peguam Uber juga menyatakan kejadian itu tidak dapat diramal kerana pemandu terbabit mempunyai penilaian yang tinggi daripada penumpang serta tiada rekod jenayah.

“Juri menolak dakwaan bahawa Uber cuai atau sistem keselamatan kami rosak. Mereka memberikan jumlah yang jauh lebih rendah daripada yang dituntut dan menolak pemberian ganti rugi punitif sepenuhnya.

“Keputusan ini mengesahkan bahawa Uber bertindak secara bertanggungjawab dan telah melabur secara bermakna dalam keselamatan penumpang,” ujar jurucakap Uber.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN