Peniaga santan tambah 40 peratus stok kelapa sempena Ramadan

Peniaga santan tambah 40 peratus stok kelapa sempena Ramadan

SEORANG peniaga santan bersedia dengan kedatangan Ramadan dengan menyediakan stok kelapa yang mencukupi di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. - UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peniaga santan segar di sini, menambah antara 30 hingga 40 peratus stok kelapa iaitu sehingga hampir 10,000 biji berbanding bulan biasa bagi memenuhi keperluan permintaan pelanggan pada bulan Ramadan.

Peniaga santan segar di Pasar Chabang Tiga yang mahu dikenali sebagai Ayie, 44, berkata, pada hari biasa sebanyak 200 biji kelapa digunakan untuk menghasilkan santan segar.

Namun katanya, jumlah itu meningkat antara 300 hingga 350 biji kelapa yang diperlukan setiap hari semasa Ramadan berdasarkan pengalaman pada tahun-tahun sebelum ini.

“Stok kelapa kami ambil dari Kuala Berang. Biasanya pada bulan puasa kami sediakan stok lebih banyak untuk menampung keperluan peniaga-peniaga kuih,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Menurut Ayie, harga santan segar kini mencecah RM17 sekilo­gram (kg).

Menurutnya yang berniaga santan sejak 2007, kenaikan harga bahan itu bermula tahun lalu dan terus meningkat dari RM12 (kg) kepada RM17 (kg).

“Dulu harga sebiji kelapa RM2 tetapi sekarang mencecah RM2.90 sebiji. Untuk mendapatkan sekilogram santan segar, kami perlukan empat biji kelapa dengan kos hampir RM12. Itu belum termasuk kos-kos sam­pingan lain seperti plastik dan pekerja,” katanya.

Bagi peniaga santan segar di Pasar Batu Enam, Wan Mah­yuddin Wan Sulaiman, 50, pula, dia menyediakan stok 2,000 biji kelapa seminggu atau kira-kira 8,000 biji kelapa sepanjang Ramadan.
Katanya , santan segar dijualnya pada harga RM15 hingga RM16 (kg).

“Pada bulan puasa biasanya peniaga bazar membuat tempahan santan awal termasuk peniaga kuih-muih dan lauk-pauk. Bulan puasa memang permintaan santan segar meningkat dan saya harap pembekal kelapa tidak menaikkan harga,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN