Peniaga kecewa, gerai durian diroboh selepas lima tahun operasi

Peniaga kecewa, gerai durian diroboh selepas lima tahun operasi

DERETAN gerai buah-buahan bermusim yang terletak di Batu Tiga, Jalan Gambang di Kuantan, Pahang dirobohkan pihak berkuasa selepas lebih kurang lima tahun beroperasi. – MINGGUAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Para peniaga gerai buah-buahan bermusim di Batu 3, Jalan Gambang di sini kecewa selepas gerai jualan mereka dirobohkan pihak berkuasa dalam operasi yang dijalankan, Khamis lalu.

Seorang peniaga, Nik Mazlan Nik Mat, 40, berkata, tindakan itu merupakan pertama kali sepanjang hampir lima tahun mereka menjalankan perniagaan menjual buah-buahan di kawasan ber­kenaan.

Katanya, pihak berkuasa dakwanya memberikan alasan tindakan di kawasan itu yang menjadi tumpuan pembeli, khususnya ketika musim durian menyebabkan gangguan lalu lintas apabila pelanggan berhenti dan membeli secara be­ramai-ramai.

“Sepanjang lima tahun berniaga di sini, tidak pernah berlaku sebarang masalah besar. Peniaga juga ambil inisiatif sendiri dengan menyediakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu mengawal pelanggan dan lalu-lintas ketika musim durian.

“Kebiasaannya kesesakan ha­nya berlaku ketika musim durian sahaja tetapi apabila menjual buah lain seperti kelapa, nanas atau tembikai, keadaan lalu lintas kembali seperti biasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Nik Mazlan berkata, semua peniaga di kawasan tersebut bukan berniaga secara haram sebaliknya memiliki lesen yang sah dan diluluskan oleh pihak berkuasa.

“Kami semua ada lesen. Kami bukan berniaga sesuka hati. Malah, kawasan ini dahulu semak-samun tetapi selepas kami mohon kelulusan dengan pejabat tanah dan peniaga mula bertapak, kawasan ini jadi lebih meriah dan terurus.

“Kawasan ini turut menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke bandar Kuantan, khususnya ketika musim durian.

“Di sini pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis buah-buahan di satu lokasi. Ramai pembeli adalah orang luar. Mereka datang kerana suasana meriah makan buah, terutama durian. Orang tempatan sebenarnya tidak ramai,” katanya.

Sementara itu, dia mendakwa mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM30,000 membabitkan khemah jualan, meja, kerusi serta stok buah-buahan yang tidak sempat dipindahkan.

“Kami bercadang membuat rayuan dengan Datuk Bandar pada minggu hadapan sebelum tarikh akhir notis yang sudah diberikan, tetapi tidak sempat, tiba-tiba gerai dirobohkan. ­Lebih mengecewakan, para peniaga tidak diberikan sebarang tapak alternatif bagi meneruskan perniagaan buah ini.

“Kami pun tidak tahu nasib selepas ini. Tidak ada tapak baharu, masing-masing kena cari sendiri. Sedih sebab sudah lama berniaga di sini dan lokasi ini memang strategik,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN