Pengerusi Hyatt letak jawatan susulan skandal Epstein

Pengerusi Hyatt letak jawatan susulan skandal Epstein

SEORANG penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di luar Capitol AS selepas sidang media mengenai Akta Ketelusan Fail Epstein di Washington.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengerusi eksekutif rangkaian hotel Hyatt meletak jawatan pada Isnin selepas e-mel yang mendedahkan hubungan beliau dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein, tersebar.

Ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Thomas Pritzker, didakwa mengekalkan hubungannya dengan Epstein walaupun selepas beliau disabitkan kesalahan terhadap kes pelacuran bawah umur pada 2008.

Epstein meninggal dunia di penjara pada 2019 ketika menunggu pertuduhan berkaitan pemerdagangan seks, dalam keadaan yang disahkan sebagai bunuh diri.

“Pengawasan yang baik… bermaksud melindungi Hyatt, terutama dalam konteks hubungan saya dengan Jeffrey Epstein dan Ghislaine Maxwell yang sangat saya kesali,” kata Pritzker dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh media AS.

Maxwell, rakan Epstein, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun terhadap peranannya bersubahat memperdagangkan gadis bersama ahli kewangan itu.

Dalam satu kenyataan, Hyatt berkata, Pritzker akan bersara daripada jawatannya sebagai pengerusi eksekutif lembaga pengarah dan tidak akan mencalonkan diri semula dalam mesyuarat pemegang saham syarikat pada Mei.

Media AS melaporkan, pertukaran e-mel pada 2018 di mana Epstein meminta Pritzker membantu membuat tempahan bagi seorang wanita yang melakukan perjalanan di Asia.

Wanita itu memberitahu Pritzker dia ‘akan cuba mencari teman wanita baru untuk Jeffrey’, dan Pritzker membalas: “May the Force be with you.”

Fail mengenai Epstein yang dikeluarkan oleh kerajaan AS, termasuk koleksi besar surat-menyurat e-melnya, mendedahkan hubungan beliau dengan golongan kaya dan berkuasa di seluruh dunia.

Ramai individu meletak jawatan daripada jawatan mereka akibat skandal dan tercemar oleh hubungan dengan Epstein, walaupun fail tersebut tidak membuktikan mereka melakukan jenayah.

Pritzker juga adalah sepupu kepada Gabenor Illinois, JB Pritzker, yang berkemungkinan mencabar pencalonan presiden Parti Demokratik pada 2028.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN