JERANTUT: Pengalaman mengiringi Putera Albert II dari Monaco ketika lawatan ke Taman Negara Kuala Tahan di sini pada tahun 1997 kekal menjadi kenangan berharga dalam hidup Sabri Abdullah, 57.
Penolong pengurus resort itu berkata, pengalaman itu ketika dia berusia 32 tahun dan diberi tanggungjawab istimewa menjadi ‘pembawa payung’ kepada putera raja itu sebaik sahaja helikopter mendarat di Padang Bumbun Tahan.
“Sepanjang tempoh kira-kira 10 minit berjalan berdekatan sambil memegang payung, putera raja tersebut tersenyum dan sangat mesra dengan petugas Taman Negara yang ditemuinya.
“Saya terdengar beliau memuji dan teruja dengan keindahan hutan tropika Taman Negara kepada pegawai daerah ketika berjalan ke pusat penerangan untuk mendengar taklimat tentang sejarah, biodiversiti dan kepentingan pemuliharaan hutan hujan tropika tertua di dunia ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Katanya, dalam lawatan itu, Putera Albert II turut dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Tembeling sambil melihat keindahan alam sekitar dan singgah menikmati minum petang di tepi sungai.
“Putera Albert II seorang pemimpin yang begitu komited terhadap pemuliharaan alam sekitar dan menonjolkan peranan penting Taman Negara sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa sekali gus sebagai landasan memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Monaco,” katanya.
Dia difahamkan, putera raja itu berkunjung semula ke Taman Negara pada November 2023 tetapi ketika itu dia sudah bekerja di sebuah resort di Janda Baik, Bentong.
Menurutnya, dia menyimpan gambar kenangan itu yang ditemukannya semula selepas banjir besar pada tahun 2014.-UTUSAN.










