RANTAU PANJANG: Kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di beberapa buah stesen-stesen minyak di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand bermula tahun ini dalam mengekang penyeludupan bahan bakar bersubsidi.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata langkah itu melibatkan stesen minyak di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak yang dikenal pasti sebagai laluan berisiko tinggi penyeludupan RON95 dan diesel.
Katanya, pemasangan itu membolehkan KPDN memperoleh bukti lebih tepat dan menyeluruh sebelum tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dengan penyeludupan.
“CCTV ini penting untuk memberi maklumat yang lebih wajar kepada kami. Dengan rakaman yang jelas, kita boleh bertindak dari sudut penguatkuasaan secara lebih berkesan dan adil.
“Ini merupakan salah satu usaha membendung kegiatan penyeludupan bahan bakar terutama RON95 dan diesel ke negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak industri minyak bagi memastikan pemasangan CCTV dilaksanakan mengikut piawaian dan boleh dijadikan bahan bukti sah dalam siasatan.
Katanya, KPDN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya bukti daripada rakaman CCTV dan pemantauan lapangan mengesahkan berlakunya kesalahan.
“Tindakan termasuk penggantungan lesen, pendakwaan di mahkamah dan tindakan undang-undang lain akan diambil tanpa kompromi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, sembilan stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini telah dikenal pasti mencatatkan corak penjualan yang mencurigakan.
Katanya, ia dikesan melalui analisis graf jualan harian sekali gus mencetuskan tindakan pemantauan berterusan oleh KPDN.
“Kita pantau setiap hari. Bila graf menunjukkan penjualan yang tidak munasabah, kita akan tempatkan pegawai penguat kuasa secara statik di stesen berkenaan untuk melihat secara langsung apa yang berlaku,” katanya.-UTUSAN










