Pelantikan anak, saudara dalam kerajaan atau GLC bukan jenayah jika telus-Peguam

Pelantikan anak, saudara dalam kerajaan atau GLC bukan jenayah jika telus-Peguam

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pelantikan anak atau saudara-mara pemimpin dalam jawatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukan satu jenayah jika dilakukan secara sah dan telus.

Peguambela dan Peguamcara Nik Saiful Adli Burhan berkata, undang-undang di negara ini termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), tidak melarang secara mutlak pelantikan saudara-mara.

Katanya bagaimanapun, ia hanya menjadi jenayah jika wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau konflik berkepentingan.

“Seksyen 23 Akta 694 menyatakan bahawa pegawai awam yang menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan termasuk wang, jawatan, kontrak atau manfaat lain bagi diri sendiri, saudara atau sekutu, melakukan kesalahan.

“Pelantikan sah sekiranya calon melalui temuduga terbuka, memenuhi kelayakan, pegawai berkaitan membuat pengisytiharan konflik kepentingan dan tidak terbabit dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas, seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah GLC di negeri ini.

Nik Saiful Adli memberitahu, undang-undang tidak menghukum hubungan kekeluargaan, tetapi menyasarkan penyalahgunaan kuasa.

“Garis pemisah antara pelantikan sah dan rasuah terletak pada niat, proses dan kewujudan manfaat tidak sah,” ujarnya.

Utusan Malaysia 23 Februari lalu melaporkan, seorang Ahli Majlis Exco Terengganu ditahan SPRM kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah GLC di negeri ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN