CALIFORNIA: Eksekutif Google kini menghadapi tekanan daripada kakitangan berhubung kaitan syarikat itu dengan tindakan keras kerajaan persekutuan terhadap penguatkuasaan imigresen, yang kebelakangan ini bertukar ganas dan meragut nyawa.
Dalam surat terbuka yang diterbitkan kelmarin, hampir 900 pekerja sepenuh masa Google menuntut lebih banyak ketelusan mengenai penggunaan teknologi syarikat itu di dalam kerajaan AS.
Ia turut menuntut Google menarik balik teknologinya daripada sebarang kerja dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) dan Peronda Kastam dan Sempadan (CBP).
Google mempunyai kontrak untuk menyediakan perkhidmatan awan kepada agensi persekutuan dan turut terlibat dalam projek berkaitan penguatkuasaan imigresen.
Seorang pekerja Google yang berkhidmat selama tujuh tahun berkata, dia terkejut dan bingung kerana Google masih bekerjasama dengan badan penguatkuasaan imigresen.
Surat daripada pekerja Google itu menyusul selepas satu lagi surat yang diterbitkan dua minggu lalu dan ditandatangani oleh ratusan kakitangan di pelbagai syarikat, termasuk Amazon, Microsoft serta Meta, yang menggesa gergasi teknologi menghentikan peranan mereka dalam menyokong tindakan keras ejen persekutuan.
Sejak kebelakangan ini, pentadbiran Trump meningkatkan tindakan pengusiran pendatang secara paksa, menghantar ejen bersenjata daripada ICE serta CBP ke beberapa bandar.
Operasi untuk menjalankan pengusiran membawa kepada dua pembunuhan berprofil tinggi terhadap warga AS.
Pada 2018, di tengah tekanan daripada ribuan pekerja, Google membatalkan kontrak dengan Pentagon yang dikenali sebagai Projek Maven untuk membangunkan teknologi dron lebih efisyen bagi kegunaan tentera AS.
Oktober lalu, Google memaklumkan mengalih keluar beberapa aplikasi daripada gedungnya yang membolehkan pengguna melaporkan serta mendokumentasi pemerhatian ejen ICE. Apple turut berbuat demikian.- BBC










