GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai kemungkinan ‘keruntuhan kemanusiaan’ di Cuba, jika keperluan tenaga negara itu tidak dipenuhi.
Ini susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat semua penghantaran minyak ke pulau Caribbean itu dan mengugut tarif terhadap mana-mana negara yang cuba membantu.
Amaran itu dikeluarkan pada Rabu berikutan kekurangan bahan api yang serius di Cuba, menyebabkan gangguan bekalan elektrik berjam-jam, termasuk di ibu negara Havana, serta kenaikan harga makanan dan pengangkutan.
Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric memberitahu pemberita di New York, ketua PBB itu amat bimbang terhadap situasi kemanusiaan di Cuba, yang menurutnya akan merosot dan berkemungkinan runtuh jika keperluan minyak negara itu tidak dipenuhi.
Dujarric turut menekankan selama lebih tiga dekad, Perhimpunan Agung PBB secara konsisten menyeru supaya sekatan perdagangan yang dikenakan AS ke atas Cuba dihentikan.
“Setiausa agung menggesa semua pihak untuk meneruskan dialog dan menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya.
AS dan Cuba menjadi musuh sejak revolusi Cuba pada 1959, apabila Fidel Castro mengambil alih kuasa dan kerajaan sosialisnya menasionalisasikan perniagaan milik AS.
Washington membalas dengan sekatan ekonomi, yang diperketatkan menjadi embargo penuh pada 1962.
Pulau Caribbean itu sekian lama dilanda krisis ekonomi dan bergantung kepada Venezuela untuk bekalan minyaknya, tetapi terganggu selepas pasukan AS menangkap Nicolas Maduro dalam satu operasi khas di Caracas bulan lalu.
Susulan itu, Presiden Donald Trump mendakwa kawalan ke atas minyak Venezuela kini di tangan AS dan berjanji untuk menyekat sepenuhnya penghantaran minyak ke Cuba, sebagai usaha menekan kerajaan Havana.
Trump melabelkan Cuba sebagai ‘ancaman luar biasa’ kepada AS dan mendakwa ingin membuat perjanjian dengan pemimpin negara itu, walaupun tidak menjelaskan bentuk perjanjian dimaksudkan.- AL JAZEERA










