TOKYO: Osaka menerima hadiah besar berupa jongkong emas bernilai 560 juta yen (RM14 juta) daripada penderma tanpa nama dan permintaan khusus supaya ia digunakan untuk membaiki paip air uzur di bandar itu.
Datuk Bandar, Hideyuki Yokoyama berkata, jongkong emas seberat 21 kilogram (kg) itu diserahkan kepada Biro Kerja Air Bandar Osaka pada November lalu oleh penderma yang ingin membantu memperbaiki paip uzur.
“Jumlahnya amat besar dan saya benar-benar terkedu. Menangani paip air yang semakin uzur memerlukan pelaburan besar, dan saya sangat berterima kasih atas sumbangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, bandar ketiga terbesar di Jepun itu akan menghormati hasrat penderma dan menggunakan sumbangan tersebut untuk menambah baik projek bekalan air.
Sebahagian besar infrastruktur awam utama Jepun dibina ketika tempoh pertumbuhan ekonomi pesat pasca Perang Dunia Kedua.
Namun, pembangunan bandar di Osaka, yang menjadi hab komersial serantau, bermula lebih awal berbanding kawasan lain, menyebabkan paip air dan infrastruktur lain di bandar itu semakin tua, kata pegawai kerja air, Eiji Kotani.
Katanya, Osaka perlu menggantikan 260 kilometer (km) paip air. Kerja pembaharuan bagi segmen sepanjang dua km dianggarkan menelan belanja kira-kira 500 juta yen.
Osaka merekodkan 92 kes kebocoran paip air di bawah jalan raya bandar bagi tahun tahun kewangan berakhir Mac 2025, katanya.
Kebimbangan mengenai keselamatan sistem kerja air Jepun semakin meningkat selepas sebuah trak jatuh ke dalam lubang benam tahun lepas, mengorbankan pemandunya.
Insiden itu dikaitkan dengan pembetung yang rosak di Saitama, utara Tokyo.- AGENSI










