KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini dijangka beroperasi secara penuh pada 5 Mac depan sebaik sahaja pembinaan fasa dua siap.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil lawatan yang dilakukan pihaknya pada minggu lalu.
Katanya, mengikut perancangan asal, operasi penuh sudah boleh berjalan minggu lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat masalah teknikal membabitkan sistem penghantar bagasi (konveyor) pada peringkat kerja-kerja akhir.
“Kita jangka pertengahan Ramadan ini sudah boleh beroperasi. Saya dimaklumkan beberapa operator penerbangan akan menambah jambatan udara bagi kemudahan pengguna perkhidmatan.
“Jadi, apabila operasi penuh dilaksanakan nanti, saya berharap pengendali penerbangan dapat menambah destinasi ke luar negara walaupun LTSIP belum bertaraf antarabangsa sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata, perkembangan tersebut dijangka dapat menampung lonjakan pergerakan penumpang sempena musim perayaan Aidilfitri nanti.
Utusan Malaysia pada 1 Mei 2024 lalu melaporkan, wajah baharu LTSIP Pengkalan Chepa yang beroperasi secara rasmi pada hari berkenaan membuatkan pengguna pengangkutan udara itu terpukau dengan kemudahan yang disediakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengguna begitu teruja sehingga ada dalam kalangan mereka merakam video dan mengambil gambar sebagai kenangan.
Selepas itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menjadikan LTSIP Pengkalan Chepa di sini sebagai lapangan terbang antarabangsa tidak lama lagi.
Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan menerusi pertambahan panjang landasan sejauh 400 meter, sekali gus membolehkan LTSIP beroperasi sebagai lapangan terbang antarabangsa.-UTUSAN










