BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengkritik Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG) berhubung keputusan mereka mengemas kini logo agar sepadan dengan lambang Pihak Berkuasa Palestin (PA).
“Logo Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG) yang dibentangkan kepada Israel adalah berbeza sama sekali daripada yang diterbitkan petang ini.
“Israel tidak akan menerima penggunaan simbol Pihak Berkuasa Palestin; Pihak Berkuasa Palestin tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan, menurut media Israel pada Isnin.
Netanyahu berhasrat untuk memisahkan kedua-dua badan itu sepenuhnya dan menentang sekeras-kerasnya sebarang peranan PA di Gaza, walaupun beliau mengakui minggu lalu wakil PA akan mengambil bahagian dalam mekanisme operasi di lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir.
NCAG masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kritikan Netanyahu.
Jawatankuasa itu ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan fasa kedua Pelan Komprehensif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan konflik Gaza, bersama Lembaga Eksekutif pengasas dan Lembaga Eksekutif Gaza yang menyokong jawatankuasa tersebut.
NCAG merupakan badan bukan politik yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal perkhidmatan awam harian.
Ia terdiri daripada 11 tokoh kebangsaan Palestin, yang diketuai oleh Ali Shaath.- ANADOLU










