SETIU: Keadaan muara Sungai Merang yang semakin cetek menimbulkan keresahan dalam kalangan kira-kira 100 nelayan dan penggiat bot pelancongan di Kampung Merang di sini.
Ini kerana kesemua mereka bergantung sepenuhnya kepada laluan tersebut untuk keluar dan masuk ke laut.
Wakil Persatuan Bot Pelancongan Merang, Azhar Che Razak, 34, berkata, keadaan itu berlaku sejak 20 tahun lalu dan kini semakin serius sehingga menyebabkan laluan bot terhalang.
“Pengusaha bot pelancong dan nelayan terpaksa tolak bot untuk keluar ke laut kerana tersangkut di beting pasir yang semakin tinggi di laluan keluar dan masuk.
“Kini kami terpaksa menggunakan laluan yang jauh kerana beting pasir yang terbentuk di muara melangkaui hampir sejauh dua kilometer,” katanya di sini semalam.
Menurut Azhar, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit untuk pembaikian bot yang rosak akibat terlanggar beting pasir atau kayu yang terdampar di dasarnya.
Katanya, keadaan diburukkan lagi apabila pengusaha bot perlu meminta pelancong turun dari bot dan berjalan kaki melintasi beting tersebut kerana tidak boleh melaluinya ketika air pasang surut.
Sementara itu, seorang nelayan Roslan Mohamed, 54, berkata, difahamkan sebelum ini sejumlah peruntukan disediakan untuk projek mendalamkan muara itu namun pelaksanaannya ditangguhkan.
“Beberapa tahun sebelum ini kerajaan memaklumkan akan mendalamkan muara ini dan peruntukan telah diluluskan namun difahamkan projek yang sepatutnya dilakukan di muara Merang dialihkan dan dilaksanakan di Kampung Mangkuk.
“Hal ini mengecewakan kami dan ia menjejaskan sumber pendapatan semua pengusaha pelancongan serta nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada laluan muara ini untuk mencari rezeki,” katanya.
Seorang lagi penduduk di Kampung Merang, Mohd Razali Ngah, 50, berkata, sebelum ini setiap tahun penduduk setempat mengambil inisiatif sendiri mendalamkan muara.
“Kami mengutip dana dan mengumpul sumbangan untuk projek ‘bedah’ muara tetapi kini keadaan terlampau parah dan berada diluar kemampuan.
“Kami kerajaan atau jabatan berkaitan segera menangani masalah ini dan sebaiknya membina satu laluan alternatif buat sementara waktu sebelum projek sebenar dijalankan,” katanya.-UTUSAN.









