PETALING JAYA: Sebanyak RM78.95 bilion nilai pelaburan berjaya dicatat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sepanjang tahun lalu di samping mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu dilaporkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35 yang dipengerusikan oleh beliau semalam.
Menurut beliau, NCER pada tahun lalu juga telah berjaya melahirkan 4,000 orang bakat tempatan yang menepati keperluan pelabur dan industri menerusi program di bawah kendalian Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).
“Mesyuarat kali ini telah membincangkan perancangan 2026 dan tahun mendatang dengan fokus memantapkan peranan dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di wilayah utara.
“Ini termasuk beberapa pelaburan berpotensi terkait Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Perlis.
“Turut diteliti adalah inisiatif meluaskan impak pembangunan ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan kajian meningkatkan semula daya saing pelancongan di Pulau Langkawi,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Selain itu, hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.-UTUSAN.











