Datuk Seri Alexander Nanta Linggi wajar diberikan amaran kerana pandangan dan penggunaan perkataan ‘cerai atau lepaskan kami’ dalam wawancara ketika menyuarakan kekecewaan berhubung perbalahan politik yang berterusan di antara Semenanjung dan Sarawak.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, menteri itu boleh dipecat kerana pandangannya itu kerana tidak timbul isu kenyataan itu merupakan pandangan peribadi kerana anggota Kabinet mesti patuh kepada collective of responsibility.
Menurutnya, sekiranya Ahli Parlimen Kapit itu mahu terus memegang pandangan itu maka Nanta Linggi wajib meletakkan jawatan.
“Ada dua implikasi daripada prinsip tanggungjawab bersama, satu Perdana Menteri boleh pecat menteri, kedua menteri itu sendiri letak jawatan.
“Perdana Menteri akan dipandang lembik dan takut jika tidak berbuat apa-apa. “Sekurang-kurangnya Perdana Menteri mesti beri amaran pada anggota Kabinet supaya tidak langgar garisan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Abdul Aziz berkata, Ahli Parlimen Sarawak yang lain bebas bercakap kerana mereka bukan anggota Kabinet.
Menurutnya, begitu juga penyokong kerajaan yang lain yang bukan anggota Kabinet.
“Collective responsibility hanya terpakai kepada anggota Kabinet. Ini dinyatakan oleh Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kelmarin, Nanta Linggi mengingatkan bahawa Sarawak tidak mahu membuang masa dengan pertelagahan yang berpanjangan, sambil menegaskan rasa bimbang jika perbalahan mengenai pelbagai perkara terus berlarutan sehingga mencetuskan sentimen perpecahan.
Dalam wawancara rancangan The Breakfast Grille di BFM, beliau mahukan Malaysia kekal progresif dan rakyat hidup harmoni namun menzahirkan kebimbangan terhadap budaya bertengkar hanya menghakis persefahaman.
“Jika kamu tidak suka kami, ceraikan kami. Saya benar-benar tidak mahu perkara itu berlaku. Tetapi kami perlu dihormati, kami perlu difahami, dan kami tidak mahu membuang masa dengan berbalah,” katanya.-UTUSAN.










