Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup ganja seberat 50kg bernilai RM150,000 - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup ganja seberat 50kg bernilai RM150,000

ROMLI Mustafa (tiga dari kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas di pesisir pantai Kuala Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengagalkan cubaan menyeludup dadah dipercayai jenis ganja seberat 50 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM150,000 di pesisir pantai Kuala Perlis di sini semalam.

Menerusi rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 3.0 sekitar pukul 2.05 pagi itu, sepasukan
anggota penguat kuasa Zon Maritim Kuala Perlis menerima maklumat berhubung objek mencurigakan terdampar di persisir pantai dengan jarak kurang dua kilometer dari garis sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, hasil pemeriksaan dilakukan telah membawa kepada penemuan tiga guni yang di dalamnya berisi 49 ketulan mampat disyaki ganja.

“Menerusi siasatan awal, dadah tersebut dipercayai cuba diseludup masuk melalui laluan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Romli berkata, hasil semakan mendapati jumlah rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM150,000 bergantung kepada kualiti dan kaedah pengedaran.

Ujar beliau, jumlah rampasan dadah itu juga dianggarkan dapat digunakan oleh lebih 30,000 orang penagih.

“Jika terlepas ke pasaran, bekalan itu mampu dipecahkan kepada puluhan ribu peket kecil untuk pengguna tempatan, sekali gus memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut Romli, kes itu merupakan rampasan pertama Maritim Malaysia di Perlis bagi tahun ini dan semakan mendapati setiap ketulan mampat ganja itu dipercayai bernilai kira-kira RM3,000 sekilogram.

Katanya, penemuan ganja itu juga berhampiran dengan lokasi beberapa kes rampasan dadah sebelum ini dan siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini.

“Maritim Malaysia akan mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis, selain memperkukuh perkongsian risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi menutup ruang pengedaran dadah oleh sindiket di dalam negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN