Pelajar MRSM Bentong, antara lima yang maut dalam kebakaran di Raub

Pelajar MRSM Bentong, antara lima yang maut dalam kebakaran di Raub

LIMA sekeluarga termasuk pelajar MRSM Bentong ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kebakaran awal pagi tadi yang meragut nyawa seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong bersama keluarganya di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.44 pagi itu, rumah keluarga pelajar terbabit, Ruby Adira Batreisya Mohd. Alawi, yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), musnah 100 peratus selain turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.

Tragedi tersebut meragut lima nyawa sekeluarga termasuk kedua ibu bapa mangsa, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat setempat.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya terkesan dengan insiden menyayat hati itu dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan ahli keluarga yang terselamat terus diberi perhatian.

“Insya-Allah, MARA akan memastikan sokongan yang diperlukan diberikan dalam tempoh sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Lebih menyentuh hati, kakak mangsa terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi, manakala seorang lagi adik tidak berada di rumah kerana menetap di asrama Sekolah Menengah Kebangaaan (SMK) Dong.

“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN