Mahkamah Syariah perlu sedia mekanisme jelas dan mudah dalam penyelesaian kes

Mahkamah Syariah perlu sedia mekanisme jelas dan mudah dalam penyelesaian kes

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mahkamah Syariah perlu menyediakan mekanisme jelas, mudah akses dan efisien bagi membolehkan orang awam menyelesaikan kes-kes mereka dengan segera.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu juga khususnya melibatkan perkara-perkara yang tidak rumit dan dapat diselesaikan melalui pendekatan alternatif.

Titah baginda, hakim-hakim syarie perlu lebih proaktif meneroka dan mencipta inovasi baharu dalam mempercepatkan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah namun tetap berlandaskan kerangka undang-undang sedia ada.

“Usaha inovasi ini penting bagi memastikan keadilan dapat disampaikan dengan lebih cepat, berkesan dan mesra umat tanpa menjejaskan prinsip perundangan serta tatacara kehakiman yang telah ditetapkan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dalam menghadapi keperluan ini, hakim-hakim syarie hendaklah sentiasa bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan sikap keterbukaan terhadap pembaharuan.

“Ini juga selaras dengan tuntutan semasa dan harapan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah,” titah baginda.

Sebagai rekod, Program Hijrah Minda yang dianjurkan itu bertujuan menyemai kesedaran dan memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.

Pendekatan ini selari dengan usaha berterusan MAIPs dalam membimbing umat ke arah pembentukan akhlak dan pemikiran yang seimbang serta berteraskan syariat.

Bersempena penganjuran program itu, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 orang asnaf terpilih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN