PETALING JAYA –Membawakan kelainan yang luar biasa, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 bukan sekadar festival jualan sempena Aidilfitri, sebaliknya tampil sebagai sebuah destinasi raya lengkap yang menggabungkan elemen keagamaan, perniagaan, fesyen, kecantikan serta hiburan patuh Ramadan dalam satu acara mega.
Berlangsung selama 88 jam tanpa henti bermula 12 hingga 15 Mac ini di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), festival ini dijangka menjadi tumpuan ramai dengan konsep unik yang jarang diketengahkan dalam penganjuran acara raya sebelum ini.
Menurut Pengarah Projek, Kelly Azman, penganjuran festival ini bukan sahaja memudahkan pengunjung mendapatkan segala kelengkapan persiapan Aidilfitri di bawah satu bumbung, malah turut membuka peluang luas kepada jenama tempatan untuk memperkenalkan produk mereka secara lebih dekat kepada pengguna.
“Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 menjadi platform terbaik buat usahawan tempatan mengembangkan jenama masing-masing, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran menjelang musim perayaan,” katanya.
Tambahnya dengan gabungan pengalaman membeli-belah, pengisian kerohanian serta hiburan yang bersesuaian dengan suasana Ramadan, festival ini dijangka menjadi acara pilihan keluarga.
‘Festival ini turut dimeriahkan dengan penglibatan 88 selebriti dan pempengaruh yang terlibat secara langsung menerusi aktiviti pentas, penghasilan kandungan digital secara langsung serta kolaborasi bersama jenama,”jelasnya.
Tambah beliau, bagi menambah keterujaan pengunjung, festival ini turut menyajikan pelbagai tarikan eksklusif termasuk segmen ‘Happy Hour Hujan Duit’ yang diadakan pada waktu-waktu tertentu dengan nilai wang tunai sehingga RM1,888.










