Lelaki cuba bunuh Trump dihukum penjara seumur hidup

Lelaki cuba bunuh Trump dihukum penjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Ryan Routh kerana cuba membunuh Presiden Donald Trump di padang golf miliknya di Florida pada 2024.

Hukuman itu diputuskan pada Rabu dalam satu prosiding mahkamah persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Aileen Cannon, yang sebelum ini menggugurkan kes dokumen sulit terhadap Trump tahun lalu.

Routh hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian penjara berwarna coklat muda, kaki dirantai dan tangan bergari.

Prosiding selama kira-kira 90 minit itu menyaksikan beliau kekal tenang, kebanyakannya memandang ke hadapan dan sesekali berbincang dengan peguamnya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Routh diberi peluang untuk membuat kenyataan dan mengeluarkan sebuah esei setebal 20 muka surat yang telah disediakan.

Namun, beliau beberapa kali dihentikan kerana kenyataannya dianggap tidak relevan.

Dalam kenyataannya, Routh membandingkan dirinya dengan tahanan politik Palestin, penduduk di Gaza dan Ukraine, serta mangsa penculikan di seluruh dunia. Hakim Cannon menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘tidak membantu’ dalam prosiding mahkamah.

Selepas campur tangan Cannon, Routh meneruskan kenyataannya dengan mendakwa beliau menyumbang kepada AS melalui tindakan yang penuh keprihatinan dan memohon supaya ditempatkan di penjara persekutuan di sebuah negeri yang membenarkan bantuan bunuh diri.

Cannon tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan itu.

Sebelum memulakan prosiding menjatuhkan hukuman, Cannon berkata beliau tidak mempercayai dakwaan Routh bahawa dirinya seorang yang baik, sambil merujuk kepada persiapan rapi yang dibuat dalam cubaan pembunuhan tersebut serta rekod pertembungan Routh sebelum ini dengan pihak penguat kuasa undang-undang.

Pihak pendakwaan mengulangi hujah yang membawa kepada sabitan terhadap Routh semasa perbicaraannya, termasuk fakta beliau merancang cubaan tersebut dengan teliti, tidak menunjukkan sebarang penyesalan dan berniat untuk menggugat demokrasi Amerika.

“Ingatlah tahap perancangan rapi yang terlibat dalam rancangannya … inilah satu-satunya hukuman yang wajar. Ia sepatutnya menjadi satu pembunuhan berdarah dingin selepas berminggu-minggu mengintip mangsa,” kata pendakwa raya, John Shipley.

Shipley turut menegaskan hukuman berat terhadap Routh penting bagi menghalang pihak lain daripada mempertimbangkan jenayah yang serupa.- AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN