Kuih raya ‘insan istimewa’ hiasi Tahun Baharu Cina

Kuih raya ‘insan istimewa’ hiasi Tahun Baharu Cina

YEOH Li Mei (duduk, dua kiri) bergambar bersama sukarelawan dan lapan lelaki OKU yang menghasilkan biskut untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina di PEKAKA Workshop di Taman Intan, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Menjadi pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) tidak menghalang lapan individu daripada Bengkel Kasih Sayang Kanak-Kanak Istimewa (PEKAKA Workshop) di Taman Intan, di sini menghasilkan biskut untuk dijual sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Malah melalui tunjuk ajar pengusaha bengkel, Yeoh Li Mei, 65, kesemua mereka yang mengidap Sindrom Down, Autisme, kecacatan fizikal serta masalah pertuturan telah mahir menghasilkan tiga jenis biskut iaitu biskut kacang, biskut mentega Jerman dan biskut Oreo.

Menurut Li Mei, kesungguhan mereka yang berumur antara 18 hingga 40 tahun itu menyebabkan permintaan pelanggan terhadap biskut yang dihasilkan semakin meningkat setiap kali sambutan perayaan itu.

“Sejak awal pembabitan mereka dalam bengkel ini kami telah memilih tiga biskut ber­kenaan kerana ia mudah dihasilkan dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

“Bermula dari proses menggaul bahan yang dibuat oleh dua sukarelawan, proses seterusnya termasuk menimbang, membentuk doh, mencorakkan biskut, menyapu telur, membakar, menyejukkan, membungkus, melekatkan label dan menetapkan harga, semuanya dilakukan sendiri oleh anak-anak istimewa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Li Mei, selain hasil jualan diagihkan sebagai ‘Ang Pow’ kepada mereka, sebahagian lagi digunakan untuk membayar sewaan bangunan, membeli per­alatan dan menampung kos mengurus bengkel berkenaan.

“Di sini mereka bekerja selama empat hari seminggu sejak pukul 9.30 pagi hingga 4 petang selain diberi rehat mengikut masa yang ditetapkan sambil menikmati makan dan minum yang disediakan oleh pihak bengkel.

“Sejak memulakan operasi membuat biskut awal bulan ini, kami telah berjaya menjual le­bih 200 balang bagi tiga jenis biskut berkenaan dan dalam proses memenuhi pesanan pelanggan menjelang sambutan perayaan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, berikutan pe­ningkatan harga bahan asas, pihaknya terpaksa menaikkan harga setiap balang biskut sebanyak RM2, namun masih menerima tempahan yang menyebabkan mereka teruja de­ngan sambutan diberikan.

“Secara tidak langsung telah menjadikan ahli OKU kami bersemangat untuk meneruskan penghasilan biskut kerana bakal memperolehi wang saku yang banyak dan mampu memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Turut membantu Li Mei dalam memastikan produk biskut ini berjaya diproses dan dipasarkan adalah dua sukarelawan iaitu Khew Siew Lan dan Khew Ai Yiat yang masing-ma­sing berumur 70 tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN