KPDN 'tuai' hasil, rampasan Ops Tiris 3.0 turun 10.8 peratus - Utusan Malaysia

KPDN ‘tuai’ hasil, rampasan Ops Tiris 3.0 turun 10.8 peratus

AZMAN Adam (kanan) menyantuni pelanggan yang mengisi petrol di sebuah stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, Rantau Panjang, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penurunan hasil rampasan barang kawalan bersubsidi yang cuba diseleweng ke negara jiran sebanyak 10.8 peratus atau RM81.691 juta menerusi Ops Tiris 3.0 pada 2025 membuktikan keberkesanan strategi penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam bagaimanapun berkata, sebanyak RM91.59 juta barangan kawalan dan lain telah direkodkan sepanjang tahun 2024.

Katanya, trend positif ini membuktikan strategi penguatkuasaan KPDN berkesan dalam memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.

“Walaupun nilai rampasan menunjukkan penurunan, kita (KPDN) akan berkompromi dan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dengan lebih agresif.

“Hasrat utama kita bertujuan mengekang aktiviti penyelewengan, termasuk rampasan petrol, diesel dan minyak masak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, sepanjang Januari tahun ini KPDN telah merekodkan nilai rampasan berjumlah RM5.72 juta.

Katanya, berpandukan kepada analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan yang paling kerap cuba diselewengkan.

“Kes berkaitan petrol menurun daripada 969 kes pada 2024 kepada 797 kes tahun lalu. Untuk tahun ini setakat Januari lalu, sebanyak 49 kes telah direkodkan.

“Bagi kes diesel pula berkurang daripada 744 kes kepada 503 kes, sementara kes minyak masak menurun daripada 479 kes kepada 404 kes bagi tempoh sama,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN