KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meletakan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam mengukuhkan semangat federalisme dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menjadikan pentadbiran negeri lebih baik.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, dizahirkan menerusi pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa dan berkongsi tanggungjawab demi memastikan setiap inisiatif benar-benar sampai kepada rakyat.
Katanya, sebuah kerajaan yang matang bukan sekadar berbeza pandangan, tetapi tahu mencari titik persamaan demi maslahat bersama.
“Negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk siapa yang lebih menonjol, tetapi untuk siapa yang lebih terbela,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, semalam selepas selesai Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Katanya, pertemuan itu bukan sekadar kunjungan hormat, tetapi medan memperkukuh hubungan kerja antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Ia dilakukan atas asas pentadbiran yang matang, berhemah dan berorientasikan solusi.
“Segala perbincangan ini bermuara kepada satu tekad: memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat, kerana kesejahteraan mereka adalah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran,” ujarnya.-UTUSAN










