Kelantan panggil penganjur Makar Fest XL dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Kelantan panggil penganjur Makar Fest XL dalam masa terdekat

PENGANJUR Makar Fest XL tampil memohon maaf secara terbuka susulan pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan yang ditetapkan Kerajaan Kelantan ketika persembahan Kugiran Masdor di pekarangan Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memanggil penganjur Makar Fest XL dalam masa terdekat susulan pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan yang ditetapkan semasa persembahan Kugiran Masdor di pekarangan Mydin Tunjong, di sini, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu bertujuan untuk merakam keterangan daripada pihak penganjur berhubung pelanggaran tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Notis akan dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kita merampas terlebih dahulu wang cagaran berjumlah RM8,000 sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini. Tujuan utama tindakan ini adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi sepanjang penganjuran persembahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa penganjur Makar Fest XL tampil memohon maaf secara terbuka susulan pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan yang ditetapkan oleh Kerajaan Kelantan ketika persembahan Kugiran Masdor di pekarangan Mydin Tunjong, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah programnya, Issey Fazlisham berkata, pihak penganjur mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden berkenaan dan menegaskan komitmen untuk terus mematuhi semua peraturan serta ketetapan pihak berkuasa dalam penganjuran acara akan datang.

Terdahulu, penganjur program Makar Fest XL yang berlangsung di pekarangan Mydin Mall, Tunjong, di sini dari Khamis hingga Sabtu lalu berdepan denda maksimum RM30,000 selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Kelantan.

Hilmi Abdullah berkata, penganjur juga boleh disenarai hitam sekiranya gagal membayar kompaun yang dikenakan.

Menurutnya, susulan itu, wang cagaran berjumlah RM8,000 turut dirampas selepas siasatan mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen dan Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN