NUUK: Kanada dan Perancis, dua negara yang menentang tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas Greenland, membuka pejabat konsulat di wilayah autonomi Denmark itu pada Jumaat, sebagai simbol sokongan padu terhadap kerajaan tempatan.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada tahun 2025, Trump menegaskan Washington perlu mengawal pulau Artik yang kaya dengan mineral dan mempunyai kepentingan strategik itu atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, pada Januari lalu, Trump menarik balik ancaman untuk merampas Greenland selepas menyatakan beliau mencapai satu kesepakatan kerangka kerja dengan Ketua Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte, bagi memastikan pengaruh AS yang lebih besar di wilayah tersebut.
Sebuah kumpulan kerja yang terdiri daripada wakil AS, Denmark dan Greenland ditubuhkan bagi membincangkan kebimbangan keselamatan Washington di Artik, namun butiran lanjut mengenainya masih belum didedahkan kepada umum.
Walaupun Denmark dan Greenland mengakui mereka berkongsi kebimbangan keselamatan yang sama dengan Trump, kedua-duanya menegaskan isu kedaulatan dan integriti wilayah adalah garis merah yang tidak boleh dicabar dalam sebarang perbincangan.
Kanada dan Perancis secara rasminya membuka konsulat mereka di Nuuk pada Jumaat.
“Ini merupakan hari yang amat penting bagi kami sebagai sebuah negara kerana kami membuka konsulat di Nuuk, Greenland,” kata Menteri Luar Kanada, Anita Anand, dalam majlis perasmian tersebut sebelum mengibarkan bendera negaranya sambil disaksikan hadirin.
Pakar sains politik dari Universiti Greenland, Jeppe Strandsbjerg, menyifatkan langkah tersebut sebagai satu kejayaan buat rakyat Greenland.
“Terdapat penghargaan besar terhadap sokongan yang diberikan bagi menentang kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Trump,” katanya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, sebelum ini telah mengumumkan rancangan pembukaan konsulat tersebut ketika lawatan beliau ke Nuuk pada Jun lalu. Dalam lawatan itu, beliau menyatakan solidariti Eropah terhadap Greenland dan mengkritik cita-cita Trump.
Konsul Perancis yang dilantik, Jean-Noel Poirier, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai duta ke Vietnam.
“Agenda utama adalah untuk mendengar penjelasan terperinci daripada pihak Greenland mengenai kedudukan mereka, dan bagi pihak kami, mengesahkan sokongan kami mengikut kehendak mereka dan pihak Denmark,” ujar Poirier kepada AFP sebelum bertolak dari Copenhagen ke Nuuk. -AGENSI










