KUANTAN: Jenazah empat sekeluarga yang maut akibat ditikam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating di sini kira-kira pukul 7.20 petang ini.
Kesemua lima jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 6.50 petang diiringi ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung yang kelihatan sugul dan tidak dapat menahan sebak.
Jenazah Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, dan dua cucunya, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5.
Anak lelaki Tuan Kamaria yang berusia 32 tahun, yang juga suspek kejadian, dikebumikan secara berasingan kira-kira beberapa meter dari kubur empat beranak itu dalam kawasan tanah perkuburan sama.
Terdahulu, jenazah Tuan Kamaria, Nurul Asshiykin serta dua kanak-kanak berkenaan dimandikan dan dikafankan di Masjid Cherating, manakala jenazah lelaki itu diuruskan di Masjid Sungai Ular, di sini.
Solat jenazah bagi kesemua mereka dilaksanakan di Masjid Cerating selepas selesai solat Asar sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Usaha pihak media mendapatkan reaksi ahli keluarga selepas pengebumian tidak berjaya apabila mereka enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi semalam di sebuah rumah setingkat di Taman Cerating Damai, seorang pengawal keselamatan dipercayai menyebabkan kematian empat ahli keluarganya sebelum ditemukan meninggal dunia. – UTUSAN










