GAZA: Israel secara rahsia menyokong kumpulan bersenjata yang beroperasi di Gaza dengan menyalurkan dana, senjata dan perlindungan di lapangan dalam usaha mengekang pejuang Hamas.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth mendakwa, laporan luar negara menunjukkan Israel membekalkan kumpulan itu dengan senapang dan peluru, termasuk bantuan logistik seperti bahan api, makanan, kenderaan serta bekalan lain.
Menurut laporan tersebut, sokongan itu membolehkan kumpulan berkenaan beroperasi di kawasan berhampiran penempatan tentera Israel, sekali gus membolehkan mereka berkubu berhampiran zon yang dikuasai rejim.
Kos sokongan itu dianggarkan mencecah puluhan juta shekel, yang dibiayai daripada bajet tentera Israel.
Kumpulan bersenjata terbabit dilaporkan beroperasi di kawasan yang berada di bawah kehadiran tentera Israel, ketika pasukannya terus mengawal lebih 53 peratus wilayah Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata 10 Oktober.
Akhbar itu mendakwa, kumpulan berkenaan beroperasi di luar struktur rasmi dan tanpa pengawasan tentera Israel atau agensi keselamatan Shin Bet, serta dikerahkan untuk peranan taktikal yang terhad.
Peranan tersebut termasuk mengesan pejuang Hamas di dalam terowong atau di sebalik runtuhan berhampiran kedudukan Israel, selain melaksanakan penahanan yang bertujuan mengurangkan risiko terhadap tentera Israel.
Laporan itu berkata, militan yang diketuai Yasser Abu Shabab, sebelum kematiannya, merupakan satu-satunya kumpulan yang beroperasi secara terbuka, termasuk memuat naik video untuk menunjukkan keyakinan serta mencabar Hamas.
Ia juga mendakwa, dasar tersebut mendapat kritikal di dalam Israel, dengan penilaian kumpulan itu tidak mempunyai keupayaan organisasi atau sokongan rakyat yang mencukupi untuk menggugat pengaruh Hamas.
Penganalisis juga menjangkakan kumpulan ‘tali barut’ itu berkemungkinan besar tidak mampu menggantikan Hamas, yang didakwa sedang memulihkan pengaruh dan mengukuhkan kawalan semasa tempoh gencatan senjata.
“Tanpa kepimpinan pusat atau struktur yang tersusun, penilaian menunjukkan peluang kumpulan tersebut untuk menyingkirkan Hamas kekal terhad,” kata laporan itu.- ANADOLU










