Israel guna alasan pelanggaran Hamas untuk bunuh 32 rakyat Gaza

Israel guna alasan pelanggaran Hamas untuk bunuh 32 rakyat Gaza

SUASANA hiba menyelubungi bilik mayat ketika ahli keluarga membuat pengecaman mangsa yang terkorban dalam kebakaran di kem pelarian Palestin di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan udara Israel mengorbankan 32 orang termasuk kanak-kanak di Gaza pada Sabtu, ketika tentera Israel mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Hamas.

Keganasan berterusan di wilayah Palestin itu walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) memasuki fasa kedua awal bulan ini, dengan Israel dan Hamas saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.

Pertumpahan darah terbaharu berlaku selepas Israel mengumumkan rancangan untuk membuka semula lintasan utama Rafah antara Gaza dan Mesir pada Ahad bagi pergerakan terhad orang awam.

Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan jumlah korban sejak awal pagi meningkat kepada 32 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, berbanding angka awal 28 orang.

Menurut jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, serangan Israel menyasarkan pangsapuri kediaman, khemah, pusat perlindungan serta sebuah balai polis.

Sebuah unit di bangunan pangsapuri di kejiranan Rimal, Bandar Gaza, musnah sepenuhnya, dengan percikan darah kelihatan di jalan, lapor seorang wartawan AFP.

“Tiga kanak-kanak meninggal dunia ketika mereka sedang tidur. Kami menemukan mayat mereka di jalan,” kata Samer al-Atbash, saudara kepada keluarga berkenaan, kepada AFP.

“Apa gencatan senjata yang kamu maksudkan? Semua orang menipu antara satu sama lain,” tambah Nael al-Atbash, seorang lagi saudara.

Satu lagi serangan mengenai balai polis di daerah Sheikh Radwan di Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah itu.

Direktorat polis awam Gaza berkata, tujuh orang terbunuh dalam serangan tersebut, manakala Bassal berkata mangsa yang maut termasuk empat pegawai polis wanita.

Kira-kira sedozen anggota penyelamat bergegas ke bangunan yang musnah itu dan mengeluarkan mayat dari runtuhan, lapor seorang wartawan AFP.

Satu lagi serangan Israel mengenai sebuah pusat perlindungan di Al-Mawasi, kawasan di selatan Gaza yang menempatkan puluhan ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal dan tinggal di khemah serta perlindungan sementara, menurut wartawan AFP.

Kepulan asap tebal kelihatan menjulang di atas ribuan khemah yang dipasang rapat.

Jumlah korban akibat serangan tersebut masih belum diketahui.

Walaupun kematian berlaku hampir setiap hari di Gaza sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober, jumlah korban pada Sabtu amat tinggi berbanding hari-hari sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN