Iran secara rasmi benarkan wanita miliki lesen motosikal

Iran secara rasmi benarkan wanita miliki lesen motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kerajaan Iran meluluskan resolusi untuk mengeluarkan lesen motosikal kepada wanita, yang secara rasmi membenarkan golongan tersebut menunggang kenderaan dua roda.

Menurut laporan media tempatan, keputusan kerajaan kini memasuki fasa pelaksanaan, walaupun tarikh sebenar pengeluaran lesen masih belum diumumkan.

Keputusan yang sekian lama dinantikan itu dikeluarkan secara rasmi pada Selasa, dengan ditandatangani oleh Naib Presiden Pertama, Mohammad Reza Aref, dan menetapkan mekanisme bagi melaksanakan tuntutan yang lama dikemukakan oleh wanita di negara itu.

Di bawah arahan tersebut, Pemerintah Penguatkuasaan Undang-Undang Republik Islam Iran dikehendaki menyediakan latihan menunggang praktikal dan mengendalikan peperiksaan pelesenan untuk pemohon wanita di bawah pengawasan polis trafik.

Menurut laporan akhbar reformis, Jamaran, pengeluaran lesen motosikal untuk wanita ditangguhkan selama bertahun-tahun akibat ‘pelbagai tafsiran’, walaupun tiada sebarang larangan undang-undang.

Laporan itu menyatakan langkah tersebut bukan sahaja mengiktiraf hak undang-undang wanita, tetapi juga berpotensi meringankan kesesakan trafik bandar dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Valiollah Bayati, seorang anggota parlimen Iran, menggambarkan keputusan itu sebagai ‘langkah untuk mengiktiraf secara rasmi laluan undang-undang bagi penunggang motosikal wanita’, sambil menekankan tiada undang-undang di negara itu yang melarang golongan itu menunggang motosikal.

Beliau menambah latihan sebaik-baiknya dijalankan oleh tenaga pengajar wanita yang bertauliah, tetapi sekiranya berlaku kekurangan, tenaga pengajar lelaki juga boleh digunakan dengan mematuhi pertimbangan sewajarnya.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN