TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menjangkakan draf cadangan balas akan disiapkan dalam masa beberapa hari susulan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump mendakwa sedang mempertimbangkan kemungkinan serangan ketenteraan terhad terhadap Iran.
Dua pegawai AS memberitahu Reuters, rancangan ketenteraan terhadap Iran kini mencapai peringkat lanjut, termasuk pilihan untuk menyasarkan individu tertentu dan meneruskan perubahan kepimpinan di Teheran jika diarahkan oleh Trump.
Trump pada Khamis memberi Teheran tempoh sehingga 15 hari untuk mencapai perjanjian bagi menyelesaikan pertikaian nuklear yang berlarutan atau menghadapi akibat buruk, menimbulkan kebimbangan kemungkinan perang lebih dahsyat.
Kelmarin, Presiden AS itu mengaku sedang mempertimbangkan serangan terhad ke atas Iran untuk menekan Teheran mencapai perjanjian.
Araghchi sebelumnya berkata, selepas perbincangan tidak langsung dengan wakil AS di Geneva minggu ini, kedua-dua pihak mencapai persefahaman mengenai prinsip panduan utama, tetapi itu tidak bermakna perjanjian sudah hampir dimeterai.
Katanya, beliau mempunyai draf cadangan balas yang boleh disiapkan dalam dua atau tiga hari untuk disemak oleh pegawai tertinggi Iran, dengan rundingan lanjut bersama AS dijangka minggu depan.
Beliau menegaskan, sebarang tindakan ketenteraan akan menyukarkan usaha mencapai perjanjian.
Araghchi tidak menetapkan tarikh tertentu untuk cadangan balas itu diserahkan kepada utusan khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, namun yakin perjanjian diplomatik boleh dicapai dalam tempoh yang sangat singkat.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric menegaskan kebimbangan terhadap retorik dan peningkatan aktiviti ketenteraan di rantau Asia Barat.
“Kami menggalakkan kedua-dua Amerika dan Iran untuk terus berunding bagi menyelesaikan perbezaan,” katanya dalam satu taklimat.










