Iran desak AS gugur tuntutan melampau dalam rundingan nuklear

Iran desak AS gugur tuntutan melampau dalam rundingan nuklear

ABBAS ARAGHCHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) digesa menggugurkan tuntutan melampau dalam rundingan nuklear dengan Iran bagi mencapai perjanjian antara kedua-dua pihak.

Kenyataan itu dibuat ketika kedutaan AS di Baitulmuqaddis memberikan kebenaran kepada kakitangan bukan kecemasan untuk meninggalkan Israel susulan kebimbangan terhadap meletusnya perang serantau.

Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi menegaskan perkara tersebut semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatan dari Mesir, Badr Abdel Ati, memetik laporan agensi berita ISNA pada Jumaat.

Diplomat tertinggi Iran itu menyatakan kejayaan memerlukan komitmen serius dan realistik daripada pihak lawan, selain mengelakkan sebarang kesilapan percaturan dan tuntutan melampau.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan apakah bentuk tuntutan yang dimaksudkan itu.

Kenyataan Aragchi dilihat lebih berhati-hati berbanding komen beliau sebelum ini yang memuji kemajuan dalam rundingan dan menyifatkan pusingan terakhir rundingan antara pegawai Iran dan AS di Geneva sebagai yang paling sengit setakat ini.

“Rundingan berakhir dengan persefahaman bersama bahawa kami akan terus berbincang secara lebih terperinci mengenai perkara penting bagi sebarang perjanjian termasuk penamatan sekatan ekonomi dan langkah-langkah berkaitan nuklear,” katanya.

Rundingan lanjut akan dijalankan secara selari dengan mesyuarat pasukan teknikal di Vienna dalam masa terdekat, tambah diplomat Iran tersebut.

Pegawai AS dan Iran meninggalkan bandar raya Switzerland itu pada Khamis bagi mendapatkan rundingan dengan kerajaan masing-masing susulan perbincangan tidak langsung yang dimediasi oleh Oman.

Sejak menyambung semula rundingan bulan lalu, AS menyatakan hasrat agar Iran merombak sepenuhnya infrastruktur nuklear, mengehadkan perkembangan peluru berpandu balistik dan menghentikan sokongan terhadap sekutu serantau.

Walaupun Teheran menunjukkan fleksibiliti dalam membincangkan had pengayaan uranium untuk kegunaan awam, setakat ini mereka menganggap isu peluru berpandu dan proksi sebagai perkara yang tidak boleh dirunding.

Presiden AS, Donald Trump menyatakan beliau menyokong penyelesaian diplomatik terhadap ketegangan ini, namun berulang kali mengancam untuk mengebom Iran jika negara itu tidak menerima perjanjian yang ditawarkan.

AS kini mengumpulkan keupayaan ketenteraan terbesar di rantau itu sejak pencerobohan Iraq pada 2003, termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald R. Ford, yang dilaporkan tiba di bandar pelabuhan Haifa, Israel pada Jumaat mengikut laporan Saluran 12 Israel.

Iran menegaskan bahawa mereka tidak akan memulakan peperangan, namun bersedia untuk bertindak balas jika diserang, selain mengancam untuk menyerang pangkalan-pangkalan yang digunakan oleh tentera AS di rantau tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN