JAKARTA: Kerajaan Indonesia menafikan dakwaan produk Amerika Syarikat (AS) boleh masuk ke Indonesia tanpa sijil halal dan menyifatkan laporan itu sebagai palsu serta mengelirukan.
Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata, semua barangan yang dikehendaki diperakui halal mesti memaparkan label halal rasmi, sama ada yang dikeluarkan institusi berpangkalan di AS atau pihak berkuasa Indonesia.
“Produk yang perlu diperakui mesti membawa label halal, sama ada daripada badan halal di AS atau daripada pihak berkuasa halal di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui Sekretariat Kabinet di Jakarta, kelmarin.
Beliau menegaskan sijil halal adalah wajib bagi produk makanan dan minuman yang dijual di Indonesia, tanap pengecualian bagi import dari AS.
Di AS, sijil halal boleh dikeluarkan oleh badan yang diiktiraf seperti Halal Transactions of Omaha dan Islamic Food and Nutrition Council of America, kata Teddy.
Di Indonesia, pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk pensijilan halal ialah Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH).
Teddy berkata, kosmetik dan peralatan perubatan juga tertakluk kepada pengawasan ketat.
Kedua-dua kategori ini mesti memperoleh lesen pengedaran dan sijil daripada Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) sebelum memasuki pasaran domestik.
Beliau berkata, Indonesia dan AS mempunyai Perjanjian Pengiktirafan Bersama mengenai piawaian halal, membolehkan pengiktirafan secara timbal balik tanpa menurunkan piawaian pengawalseliaan atau pemantauan di kedua-dua negara.
Penjelasan itu dikeluarkan susulan laporan Indonesia akan melonggarkan keperluan halal bagi barangan AS selepas Presiden Prabowo Subianto dan Presiden Donald Trump menandatangani perjanjian tarif timbal balik di Washington.- ANTARA










