Identiti mangsa terdedah, ribuan dokumen Epstein dipadamkan

Identiti mangsa terdedah, ribuan dokumen Epstein dipadam

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk semasa sidang akhbar mengenai Akta Ketelusan Fail Epstein di Capitol AS di Washington, DC.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memadamkan ribuan dokumen berkaitan pesalah seks, Jeffrey Epstein, daripada laman webnya selepas mangsa mendakwa identiti mereka terdedah.

Peguam yang mewakili mangsa Epstein berkata, penyuntingan yang cacat dalam fail dikeluarkan pada Jumaat lalu, ‘menyukarkan kehidupan’ hampir 100 mangsa yang terselamat.

Dokumen itu turut mengandungi alamat e-mel dan foto bogel yang membolehkan nama serta wajah mangsa berpotensi dikenal pasti.

Mangsa terselamat mengeluarkan kenyataan menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘keterlaluan’ dan menegaskan identiti mereka tidak sepatutnya didedahkan, diperiksa atau menyebabkan semula trauma.

DOJ memaklumkan, semua fail yang bermasalah dipadamkan dan kesilapan berlaku disebabkan isu teknikal atau manusia.

Dalam surat yang diserahkan kepada hakim persekutuan pada Isnin lalu, DOJ berkata, semua dokumen yang diminta mangsa atau peguam untuk dipadamkan sudah dikeluarkan pada Selasa untuk penyuntingan selanjutnya.

Jabatan itu juga sedang meneliti permintaan baharu serta memeriksa dokumen lain yang mungkin memerlukan pindaan sama.

Di bawah terma pengeluaran dokumen itu, yang diperintahkan selepas kedua-dua dewan Kongres meluluskan langkah memaksa DOJ menerbitkannya, kerajaan persekutuan dikehendaki menyunting maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa.

Jumaat lalu, dua peguam yang mewakili mangsa memohon kepada hakim persekutuan di New York supaya mengarahkan DOJ menutup laman web yang menempatkan fail tersebut, dengan menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘pelanggaran privasi mangsa paling teruk dalam sejarah AS’.

Brittany Henderson dan Brad Edwards berkata, terdapat kecemasan sedang berlaku yang memerlukan campur tangan segera pihak kehakiman ekoran DOJ gagal menyunting nama mangsa dan maklumat peribadi lain dalam ribuan dokumen tersebut.

Beberapa mangsa Epstein turut memberikan ulasan dalam surat berkenaan, termasuk seorang yang menyifatkan pendedahan itu sebagai mengancam nyawa.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN