TUMPAT: Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, sesak apabila warganegara Thailand yang mencari rezeki di negara ini pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut ketibaan Ramadan.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, rakyat negara Gajah Putih itu beratur panjang seawal pukul 7 pagi untuk menyelesaikan urusan perjalanan keluar dari negara ini.
Seorang warganegara Thailand, Rahim Dollah, 45, berkata, dia tiba di ICQS Pengkalan Kubor sejak awal pagi dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk pulang ke negaranya.
Katanya, setiap kali Ramadan dia mengambil peluang berpuasa di kampungnya sebelum kembali semula ke Malaysia mencari rezeki sebagai pembantu kedai makan.
“Kedai makan majikan saya cuti seminggu, dapatlah berpuasa bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.
Bagi Wan Yusof Wan Mamat, 30, dia pulang ke Patani untuk menyambut Ramadan di rumah keluarga isterinya yang merupakan warga Thailand.
“Hari pertama Ramadan masih lagi cuti sekolah, jadi saya sekeluarga dapat menyambut Ramadan di rumah keluarga isteri. Tahun ini kami sambut Aidilfitri di Malaysia manakala hari pertama Ramadan di rumah keluarga isteri,” ujarnya.
Sementara itu, Rapeah Mat Ghani, 28, berkata, dia pulang ke Thailand untuk menyambut Ramadan yang membuka peluang bertemu dengan ahli keluarga.
“Menjadi tradisi bagi keluarga saya, hari pertama Ramadan semua berkumpul,” katanya.-UTUSAN.










