KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal, Nik Rosmanila Mat Amin, 63, sebak menerima sumbangan zakat berupa bakul makanan daripada syarikat Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd buat kali pertama sejak kematian suaminya sehari sebelum Ramadan tahun lalu.
Nik Rosmanila mengakui kehidupannya menjadi agak sukar selepas kehilangan suami dan kini bergantung kepada lima anaknya yang masing-masing bekerja sendiri.
“Selepas kematian arwah suami, saya tinggal bersama anak bongsu, Wan Nur Aien Nadira, 24, yang sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak. Dua anaknya masih bersekolah, manakala seorang lagi masih kecil.

“Saya tidak menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan setakat ini, jadi bantuan zakat ini sangat membantu persiapan menyambut Ramadan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Agihan Zakat Asnaf Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. bersama Masjid Imanul Faizin di Padang Kala, Melor di sini semalam.
Bagi Ahmad Adam Harris, 16, yang mewakili ibunya, Nurul Anida Daud, 38, sumbangan zakat diagihkan masjid berkenaan dapat meringankan beban keluarganya sepanjang Ramadan.
Anak kedua daripada tujuh beradik itu sedang menunggu keputusan permohonan memasuki institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Taiping, Perak.
Beliau mengakui kehidupan mereka agak terhimpit selepas perceraian ibu dan bapa pada 2023.

“Pada awal perceraian, kehidupan kami agak tertekan kerana banyak kemudahan hilang sekelip mata dan kami semua terpaksa belajar berdikari. Alhamdulillah, kehidupan kami kini bertambah baik serta mampu bertahan. Kakak sulung, Nur Alia Qistina, 18, bekerja sambilan sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya harap dapat mengubah nasib keluarga pada suatu masa nanti,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Faizin, Dr. Abdul Fattah Yaso, berkata, majlis agihan zakat diadakan secara berkala oleh pihak masjid dan tahun ini seramai 1,100 asnaf bakal menerima sekitar RM200,000 zakat secara keseluruhan.
Katanya pihak masjid memberi tanggungjawab kepada 11 masjid mukim sekitar Melor untuk memilih asnaf layak menerima zakat diagihkan dalam bentuk barangan makanan dan keperluan asas bernilai RM150 setiap satu.
“Ini merupakan zakat wakalah daripada pihak Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. yang disalurkan kepada masjid ini. Pada pagi ini, kita agihkan kepada 400 asnaf dahulu dan selebihnya diagihkan esok dan lusa. Jika ada lebihan, kita akan agihkan pula kepada asnaf berkelayakan yang tercicir daripada senarai penerima. Kita juga turut menyampaikan masing-masing 100 bungkusan makanan di Rantau Panjang serta Kuala Balah, Jeli semalam,” katanya. – UTUSAN










