Ibu bapa perlu tumpu kemahiran asas anak

Ibu bapa perlu tumpu kemahiran asas anak

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, kebimbangan terhadap kemampuan 3M (membaca, menulis dan mengira) tidak seharusnya menjadi isu utama bagi ibu bapa.

Sebaliknya beliau menegaskan, tumpuan wajar diberi ke­pada aspek kemahiran asas seperti pengurusan diri dan komunikasi sebelum anak-anak mereka memasuki alam persekolahan formal.

Katanya, kajian-kajian pendidikan yang dijalankan sebelum ini juga menunjukkan tidak banyak perbezaan antara kanak-kanak yang berumur enam dan tujuh tahun dari segi perkembangan kognitif serta keupayaan mereka.

“Mereka berada di dalam kelompok yang hampir sama, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang kalau anak mereka masih tidak menguasai 3M misalnya, ia tidak menjadi isu. Lebih penting adalah dari segi keupayaan mengurus diri.

“Sebagai contoh, anak-anak berkenaan tahu bagaimana hendak menggunakan tandas ataupun kemampuan untuk mereka berkomunikasi dengan jelas dan baik iaitu menerangkan keperluan dan kemahuan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan tiada kuota dite­tapkan melibatkan murid ber­usia enam tahun untuk kema­sukan tahun satu bagi sesi per­­­sekolahan 2027 malah ibu ba­pa diberikan ruang sehingga Disember untuk mendaftar.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tiada sebarang sasaran ditetapkan melibatkan murid enam tahun kerana prinsip kerajaan adalah menerima sesiapa sahaja berdasarkan kepercayaan ibu bapa terhadap tahap kesediaan anak masing-masing.

Sementara itu, Anuar menegaskan, ibu bapa tidak perlu bersikap bersaing sehingga memaksa untuk menghantar anak mereka ke tahun satu lebih awal sedangkan kanak-kanak itu masih tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Jangan paksa anak terutama apabila masih tidak boleh menguruskan diri. Ibu bapa sepatutnya buat persiapan mulai sekarang iaitu pada umur anak-anak mereka lima tahun sudah tahu kemahiran-kemahiran asas,” katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat pula berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan penilaian 3M, emosi dan sosial anak mereka.

Beliau berkata, penilaian tersebut akan dibuat oleh pihak sekolah sendiri selepas anak-anak itu memasuki tahun satu.

“Kita boleh melihat perkembangan anak-anak semasa berada di tahun satu, ada yang mungkin sudah pandai 3M tetapi pada masa sama ada juga tidak berkemampuan kerana mempunyai masalah pembelajaran dan sebagainya.

“Di sini guru-guru akan membuat penilaian dan perbincangan bagi menyelesaikan kelemahan-kelemahan murid tahun satu,” katanya-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×