Harga emas turun, kedai jual barang kemas 2.1kg

Harga emas turun, kedai jual barang kemas 2.1kg dalam tempoh dua hari

ORANG ramai menyerbu premis MZ Gold di Kota Bharu, Kelantan untuk membeli barang kemas susulan kejatuhan harga emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sekurang-ku­rang­nya dua kilogram (kg) emas berjaya dijual oleh pengusaha bara­ngan kemas di bandar ini dalam tempoh dua hari sejak kejatuhan harga emas sehingga RM572 se­gram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn. Bhd., Nur Akmal Ahmad Tajuddin berkata, jumlah itu merangkumi 1.2 kg emas terpakai manakala selebihnya adalah emas baharu.

“Jumlah itu boleh dianggap luar biasa kerana dicapai dalam tempoh singkat susulan kejatuhan harga emas.

“Kebanyakan pelanggan memilih emas terpakai untuk dijadikan perhiasan dan simpanan kera­na harganya lebih menjimatkan,” katanya.

Nur Akmal memberitahu, rantai tangan jenis padu dan lipan menjadi antara barang kemas pa­ling laris setakat ini.

Sementara itu, tinjauan mendapati, hampir 30 buah kedai emas di sekitar bandar ini dipenuhi pelanggan yang mahu membuat gantian baharu perhiasan itu dengan harga semasa RM572 segram.

Seorang pelanggan, Mirza Hassan, 28, berkata, kejatuhan harga ketika ini membuatkan dia mengambil kesempatan untuk menambah koleksi barang kemas.

Katanya, sebagai peniaga dia memilih emas sebagai simpanan kerana harga logam itu sentiasa stabil dan tidak mengalami susut nilai yang terlalu teruk.

“Selain itu emas mudah digadai atau dijual sekiranya berada dalam keadaan mendesak terutama orang berniaga macam saya,” ujarnya.

Sementara itu, Asiah Yunus, 65, berkata, kejatuhan harga ketika ini membuatkan dia mengambil ke­sempatan untuk menukar rantai tangan kepada rekaan baharu.

Katanya, penggantian itu bagi membolehkan dia memakai rantai tangan tersebut pada 1 Syawal nanti.

“Sudah menjadi tradisi Mek Kelate untuk tampil bergaya pada 1 Syawal dengan memakai barang kemas,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, emas susut mendadak sehingga hampir 20 peratus berbanding paras tertinggi minggu lalu.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd Sedek Jantan berkata, kejatuhan harga emas sejak Jumaat berpunca terutamanya daripada pembetulan teknikal selepas kenaikan yang terlalu pantas dan parabolik.

Katanya, ia juga didorong oleh pengukuhan mendadak dolar Amerika Syarikat susulan pengu­muman Kevin Warsh sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan yang dilihat tegas terhadap inflasi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN